Asal-usul Nama ‘Laksa’ & Maksudnya Yang Ramai Tak Tahu

Baru-baru ini hangat sungguh di media sosial apabila para netizen masing-masing ‘berperang’ tentang makanan tradisi tempatan, iaitu laksa. Ada yang kata laksa kena guna ikan tenggirilah, ada yang kata kena guna ikan kembunglah. Macam-macam.

Sebenarnya dalam ‘peperangan’ ini tiada siapa yang betul, tiada siapa yang salah. Malah laksa itu sendiri dicipta mengikut selera asal di mana ia bermula. Laksa selatan dengan cara selatannya, laksa utara dengan cara utaranya. Yang penting, dua-dua mesti sedap.

Bercerita tentang laksa ini, apa kata kita mengimbau sedikit sejarah bagaimana laksa tercipta. Menurut portal Asian Inspiration, laksa ini dikatakan pada asalnya sejenis mi pedas berkuah yang dibawa daripada pedagang-pedagang dari China ke Tanah Melayu satu ketika dahulu.

Hasil perkahwinan campur antara pedagang China dengan orang Melayu ketika itulah wujudnya masyarakat Peranakan. Maka dengan itu, dalam semangkuk laksa itu sendiri telah bergabungnya dua rasa iaitu mi sup (makanan China) dan pedas (selera Melayu). Dikatakan antara laksa tertua yang menjadi ‘pemula’ legasi laksa di Asia Tenggara ialah laksa Penang.

Dari mana asal-usul nama ‘laksa’?
Difahamkan, asal-usul nama laksa mungkin diambil daripada perkataan Hindi dan Parsi, iaitu ‘lakshah‘; sebutan yang diberi untuk makanan jenis mi yang berkuah. Manakala daripada Bahasa Sanskrit pula, ia membawa makna ‘sepuluh ribu’, dipercayai bermaksudkan 10,000 ‘rasa’.

Selain itu, ada juga yang mendakwa laksa berasal daripada Bahasa Kantonis yang disebut sebagai “lɐ̀t sá” yang membawa makna ‘pasir yang pedas’, dipercayai bermaksudkan menu udang kering yang digunakan dalam kuahnya dan tekstur mi laksa itu sendiri yang agak kering.

Manakala satu lagi teori, laksa dikatakan berasal daripada Bahasa Hokkien yang menyebutkan laksa sebagai ‘lup-sup’ yang membawa makna ‘kering’. Agak banyaj teori asal-usul nama laksa ini yang dicatat dalam sejarah. Justeru apabila diasimilasikan ke dalam dialek Nusantara, maka ia disebut sebagai ‘laksa’ sahaja.

Ada berapa jenis laksa yang ada?

Mungkin inilah yang menjadi ‘perbalahan’ dalam kalangan netizen baru-baru ini. Sebenarnya hampir setiap negeri ada resipi laksanya yang tersendiri. Antara yang cukup terkenal ialah laksa utara; sama ada laksa Penang atau laksa Kedah, laksa Pahang, laksa Sarawak dan laksa Johor.

Secara kasarnya, mungkin laksa-laksa ini nampak macam sama. Tapi perbezaannya adalah daripada segi bahan resipi, penyediaan dan cara makannya. Mungkin ada yang belum tahu, bagi laksa Penang, isi ikan yang digunakan dalam kuah hanyalah dicarik-carik saja, berlainan dengan laksa Kedah yang menggunakan isi ikan yang dikisar.

Selain itu, laksa Penang menggunakan air perahan asam jawa sebagai elemen masam, manakala laksa Kedah pula menggunakan asam keping. Dipercayai lengkuas dan serai adalah bahan ‘wajib’ dalam laksa Penang, manakala laksa Kedah pula dikatakan tidak memerlukan kedua-dua bahan itu.

Dalam pada itu, dikatakan tahap kepedasan laksa Penang lebih bergantung kepada cili merah segar, berbanding laksa Kedah yang menggunakan cili kering. Walaupun berbeza jenis cili, namun elemen pedas itu sendiri sudah memberikan identiti laksa ‘orang kita’ yang sebenar.

Bercerita tentang kuah, umumnya laksa mempunyai dua jenis kuah iaitu kuah asam (yang biasanya disebut asam laksa) dan kuah kari (yang biasanya disebut laksa kari atau laksa merah). Biasanya asam laksa berwarna putih pudar dan terkenal di utara, manakala laksa kari pula berwarna merah yang terkenal di Sarawak.

Laksa Johor ada kacukan Eropah?

Namun di sebalik perbezaan dua laksa utara ini, ada satu lagi laksa yang sangat unik berbandingnya iaitu laksa Johor. Mungkin ada yang belum tahu, keunikan paling ketara pada laksa Johor ialah jenis mi yang digunakan.

Jika kebanyakan laksa di negara ini menggunakan mi laksa yang dibuat daripada beras, namun tidak pada laksa Johor kerana jenis mi yang digunakan ialah mi spaghetti. Unikkan?

Difahamkan, cara memakan laksa Johor juga agak berbeza kerana kuahnya tidaklah cair seperti kebanyakan laksa lain, tetapi agak pekat dan dimakan dalam kuantiti sedikit bersama mi laksa. Paling menarik, biasanya ia dimakan dengan menggunakan tangan sahaja.

Hari ini, menu laksa sudah menjadi sajian utama yang paling dicari kebanyakan peminatnya. Banyak laksa dijual di tepi-tepi jalan, warung mahupun restoran. Tidak kisahlah laksa negeri mana sekalipun, hatta guna ikan apapun, ianya tetap laksa.

Raikan perbezaan selera sesama kita kerana itulah yang menyatukan kita semua. Jangan gaduh-gaduh lagi ya netizen. Beza macam mana pun laksanya, yang penting kuah kena sedap, mi banyak, isi ikan banyak. Barulah puas. Selamat berlaksa semua.

Sumber: Asian Inspirations / My Kebun / Kata Malaysia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*