Bakal suami gagal hafal sifir 2, pengantin perempuan batalkan majlis perkahwinan

Seorang pengantin perempuan mengambil keputusan untuk membatalkan majlis perkahwinannya selepas pengantin lelaki gagal menghafal sifir dua.

Lapor Deccan Herald, pengantin perempuan terdahulu berasa curiga dengan kelayakan akademik bakal suaminya itu. Sebelum dikahwinkan, dia meminta lelaki itu membaca sifir dua untuknya.

Malangnya, pengantin lelaki gagal berbuat demikian menyebabkan pengantin perempuan terus keluar dari majlis tersebut dan menegaskan dia tidak boleh berkahwin dengan lelaki yang tidak memahami asas matematik.

Difahamkan, perkahwinan itu sebenarnya telah diatur oleh keluarganya dan pengantin perempuan dikatakan berasal dari kampung Dhawar, Daerah Mahoba.

Rakan dan keluarga cuba memujuk wanita berkenaan untuk meneruskan majlis perkahwinan, tetapi dia tetap dengan keputusannya tidak mahu berkahwin.

“Keluarga pengantin lelaki telah menipu kami mengenai taraf akademiknya. Dia mungkin tak pernah bersekolah pun, keluarga mereka sudah menipu kami. Tetapi kakak saya berani mengangkat kaki dari majlis itu tanpa mempedulikan kata-kata orang lain,” kata sepupunya.

Insiden itu tidak dilaporkan kepada polis kerana kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan untuk mengembalikan barang kemas dan hantaran perkahwinan.

Sumber: Deccan Herald

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*