‘Bangun mak, buka mata mak…’ – Anak-anak menangis pilu melihat ibu mereka yang nazak disebabkan Covid-19

“Hari ini, 24 Mei jam 4.45 pagi tadi, ibu mertua kesayangan saya telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia di Hospital Shah Alam.

“Arwah meninggal dunia disebabkan Covid-19. Tiga minggu dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) sebab sesak nafas dan perlukan bantuan oksigen,” demikian perkongsian yang tersebar meluas di media sosial sejak semalam.

Video viral berdurasi 1 minit 37 saat itu menunjukkan anak-anak bersama dengan pasangan dan keluarga masing-masing menangis kesedihan melihat si ibu yang sedang nazak di ICU sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut sumber, mangsa dijangkiti virus berbahaya itu dari anak perempuannya yang sebelum itu memperoleh jangkitan dari rakan di tempat kerja.

“Punca kena Covid-19 adalah kerana kakak ipar dapat (berjangkit) melalui kawan di office dia. Kakak ipar jumpa mak mertua saya, cium tangan dan berborak rapat-rapat. Bila kakak ipar pergi buat swab test, positif. Bawa mak mertua buat test, terus positif. Boleh bertahan tiga minggu sahaja, selepas itu meninggal dunia.

“Doktor suruh buat video call terakhir semalam dengan anak-anak,” kata sumber.

Di media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan terkesan dengan video tersebut yang membuatkan mereka terkenang akan ibu bapa masing-masing. Ada juga yang mengatakan, jika sebelum ini mereka menolak untuk menerima suntikan vaksin, kini telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin kerana tidak mahu kejadian yang sama berlaku pada keluarga masing-masing.

“Berapa ramai yang kehilangan mak, ayah, datuk dan nenek disebabkan kecuaian anak dan cucu balik kampung. Memang niat kita balik untuk menjenguk tetapi kalau ini natijahnya berbakul-bakul rasa menyesal sebab darah daging sendiri menjadi penyebab kematian. Allahu, salam takziah buat keluarga mangsa,” kata Izzah.

“Cepat-cepatlah kita daftarkan parents untuk vaksin ini nanti. Kalau berdegil tak nak, ambil masa untuk cuti dan hantar juga. Pastikan mereka dilindungi,” kata Farah.

“Saya seorang yang tidak mahu divaksin dan saya juga melarang ibu dan ayah saya divaksin. Tetapi setelah menonton videdo ini, saya dah daftarkan diri dan kedua ibu bapa saya untuk divaksin. Ini sangat-sangat menginsafkan. Saya yakin bukan saya seorang saja yang begitu, orang lain mungkin juga mengambil tindakan yang sama. Takziah buat keluarga mangsa,” kata Nadia.

Sementara itu, salah seorang menantu mangsa tampil meminta jasa baik warga maya untuk berhenti menyebabkan video tersebut.

“Saya mewakili keluarga memohon jasa baik warga maya yang mengikuti kisah ini untuk mendoakan ibu mertua saya agar rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam golongan ahli syurga.

“Sesungguhnya video ini amatt menyentuh perasaan, tetapi ianya amat memedihkan pada kami. Saya dengan rendah diri memohon agar ianya tidak lagi diviralkan seterusnya. Cukuplah setakat ini. Mohon maaf sekali lagi,” kata Azinie Ahmad.

Sumber: Facebook

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*