Bendera Putih, Rangkuman Kisah Mereka Yang Telah Dibantu

Jiran tanya khabar lepas jemur kain putih..

PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita dikunjungi jiran selepas kira-kira 40 minit menjemur kain lap berwarna putih mencuit hati netizen hari ini yang menyifatkan peristiwa itu mencerminkan kejayaan kempen bendera putih.

Pemilik akaun Facebook bernama Annie Sait, 33, dari Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, pada mulanya dia menyangka suara perempuan memberi salam di hadapan tingkap rumahnya adalah penghantar barang.

“Sekali dia tanya kakak ‘okey’ ke? Adakah perlu apa-apa bantuan? Pada mulanya saya bingung juga mengapa dia tanya begitu. Selepas itu dia cerita kempen bendera putih.

“Saya rasa terharu dan minta maaf jemur kain begitu. Terlupa pula ada kempen bendera putih,” tulisnya menerusi kumpulan Facebook Lupa Apa Hari Ini.

Annie memuji sikap jirannya yang prihatin dan kemudian mengalihkan kain lap itu ke belakang halaman dapur kerana bimbang menarik perhatian jiran lain yang mungkin akan bertindak serupa apabila ternampak kain tersebut.

“Bermakna kempen itu berjalan dengan jayanya. Alhamdulillah,” komen Mawar Norsolehah.

“Itu tanda semangat kejiranan di situ bagus. Alhamdulillah dapat jiran yang baik dan prihatin,” ujar Nurul Wahida.

“Tapi kain lampin ini memang seronok buat lap-lap minyak atau air cepat serap,” balas seorang lagi. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

11 keluarga di Kota Kuala Muda kibar bendera putih..

SUNGAI PETANI – Sebanyak 11 buah keluarga di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda dekat sini mengibarkan bendera putih di hadapan rumah masing-masing kerana terputus bekalan makanan.

Wakil penduduk, Nor Hanani Hasan, 28, berkata, bendera putih itu dikibarkan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi selepas dia memaklumkan mengenai kempen bendera putih kepada jiran yang dalam kesusahan.

Katanya, kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada warga emas dan keluarga nelayan yang kurang terdedah dengan maklumat di media sosial.

“Mereka tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan meskipun kehilangan sumber pendapatan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Selepas saya maklumkan tentang kempen bendera putih itu, mereka mula memasang bendera putih di hadapan rumah masing-masing dengan harapan akan ada bantuan sampai,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda di sini hari ini.

Nasib 11 keluarga itu mendapat perhatian Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani yang datang ke rumah mereka untuk memberi sumbangan berbentuk barangan dapur. – K! ONLINE

Angkat bendera putih, bantuan tiba segera..

SEBERANG PERAI – Tindakan seorang penjaja di Bukit Mertajam di sini mengibarkan bendera putih di hadapan rumahnya sebagai tanda memerlukan bantuan menerima respon segera daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hari ini.

Menurut catatan di laman sosial Facebook, Steven Sim berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ah Soon itu mengadu tidak mampu membayar sewa gerai dan rumah serta bil air dan elektrik sejak beberapa bulan lalu apabila tidak dapat berniaga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Steven Sim, lelaki itu terpaksa menjual mesin basuh dan kipas angin di rumahnya demi meneruskan hidup sehingga hampir berputus asa.

“Dia bukannya tidak mencuba, malah berusaha untuk bangkit semula selepas tersungkur berkali-kali. Tapi PKP berulang-ulang menyebabkan dia buntu. Semua usaha tidak menjadi dan sudah penat.

“Saya bagitau Ah Soon, jangan berputus asa. Hidup ini ada naik dan turun, tapi harapan tetap ada. Setidak-tidaknya, ada orang nampak bendera putihnya dan saya telah datang,” katanya di Facebook.

Menurut Steven Sim, beliau telah membantu Ah Soon meringankan bebannya termasuklah mendapatkan gerai baharu untuk lelaki itu berniaga. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*