Demi kelangsungan hidup, Lelaki ini lelong kasut Converse pertama di dunia

PETALING JAYA – Demi kelangsungan hidup, seorang lelaki terpaksa menjual koleksi kasut yang boleh dianggap paling berharga iaitu keluaran pertama jenama Converse yang dihasilkan pada tahun 1917.

Kasut Converse pertama di dunia diberi nama Converse Non Skid berusia lebih seabad itu bakal dilelong pada harga kira-kira RM40,800.

Menurut pemilik kasut yang dikenali sebagai Wan Irfayuinazain Wan Ab Aziz, 31, kasut berkenaan datang bersama-sama sepasang seluar pendek ‘basketball’ bertarikh 1916 serta pelindung lutut bagi permainan itu.

“Apa yang saya tahu, ada sepasang lagi kasut ini berada dalam muzium Converse di Boston dan disimpan rapi pihak mereka,” katanya di laman Facebook di sini hari ini.

Kosmo! difahamkan kasut itu dibeli daripada pasangan suami isteri yang menetap di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2018.

Tambah pengumpul kasut antik berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu lagi, dia ingin menawarkan kasut itu kepada pengumpul atau pengkaji sejarah untuk menjadi pemilik baharu kasut itu.

“Semuanya masih lengkap kecuali tali kasut yang sudah reput dan juga tapak satu kasut pecah sedikit.

“Kasut ini adalah ‘item collection’ bukan untuk dipakai (kecuali anda pemilik kasut ini nak pakai silakan),” jelasnya.

“Dan memang ada satu gambar pemain bola keranjang di United States memakai seluar pendek dan pelindung lutut serta kasut yang sama.

“Itulah nilai yang berharga tentang kasut ini, apabila ada sejarah dan kisah di sebaliknya,” katanya.

Katanya, dia berharap agar pemilik seterusnya yang akan membeli kasut ini merupakan orang Malaysia dan menyimpan kasut tersebut dengan baik kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

Wan Irfayuinazain berkata, kepada mereka yang berminat dengan kasut itu boleh terus berhubung dengannya melalui laman Facebooknya Jeroong Wia.

“Harga tawaran saya buka adalah RM40,800 dan anda akan jadi pemilik baru kasut Converse 1917 ini.

“Saya turut akan menghadiahkan tiga pasang lagi kasut Converse dari tahun 1950,1960 dan 1970,”ujarnya.

“Kalau bukan sebab PKP, memang saya tidak akan jual kasut tersebut lebih-lebih lagi dengan harga yang rendah sebab bergantung kepada orang ramai, harga yang saya tawarkan adalah murah jika dibandingkan dengan nilai sebenar kasut itu.

“Tetapi, niat saya jual kasut tersebut adalah kerana desakan ekonomi sebab saya perlukan duit jumlah nilai yang dijual.

“Dan kepada pemilik seterusnya, saya memang berharap agar pembeli datang daripada orang Malaysia sendiri sebab kalau kira pun, kasut Levi’s yang pertama di dunia memang sudah ada di Malaysia,” jelasnya lagi.

– Malaysiakini, K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*