Diet Mediterranean yang mampu atasi lemah tenaga batin lelaki pertengahan usia

Satu kajian yang dibentangkan dalam Kongres Persatuan Kardiologi Eropah semalam menyatakan bahawa pemakanan berasaskan tumbuh-tumbuhan yang dinamakan diet Mediterranean dapat membantu melegakan gejala mati pucuk, lapor laman berita United Press International (UPI).

Menurut kajian itu, diet berasaskan sayuran, bijirin, buah-buahan, kekacang, makanan laut serta tenusu secara sederhana boleh membantu memperbaiki peredaran darah dan prestasi seksual dalam kalangan lelaki yang menghidap penyakit darah tinggi dan lemah tenaga batin.

Golongan itu turut menunjukkan kesihatan hati yang bertambah baik dan kapasiti senaman lebih tinggi, termasuk meningkatkan kadar testosteron dan meningkatkan prestasi ereksi serta mengekalkannya.

“Dalam kajian kami, pengambilan diet Mediterranean dikaitkan dengan kapasiti senaman yang lebih baik, saluran dan aliran darah yang lebih sihat, kadar testosteron lebih tinggi dan prestasi ereksi yang lebih baik.

“Biarpun kami tidak memeriksa mekanismenya, tidak mustahil jika diandaikan bahawa tabiat pemakanan boleh meningkatkan kecergasan dan prestasi ereksi dengan dengan menambah baik fungsi saluran darah dan mengehadkan penurunan testosteron pada lelaki pertengahan usia,” demikian kata penulis bersama kajian, Dr. Athanasios Angelis.

Kajian sebelum ini menunjukkan diet Mediterranean dapat membantu untuk mengurangkan risiko sakit jantung dan menurunkan tekanan darah.

Purata umur mereka yang dikaji adalah 56 tahun dan pengambilan makanan Mediterranean dinilai melalui soal selidik dengan peserta menerima skor antara 0 hingga 55.

Kapasiti senaman dinilai melalui ujian treadmil, manakala ukuran testosteron pula dinilai melalui sampel darah yang diambil sebelum pukul 9 pagi setiap hari. – Agensi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*