‘Dine-in’ atau makan dalam kenderaan langgar SOP

Kuching: Premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ di dalam kereta adalah melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis yang menyediakan layanan sedemikian.

“Pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya menghentikan layanan ‘dine-in’ di dalam kenderaan.

“Menghantar makanan secara hidangan kepada pelanggan untuk makan di dalam kenderaan mereka atau kenderaan yang disediakan oleh premis adalah tidak mematuhi SOP, yang mana hanya membenarkan bawa pulang,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan pengusaha premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ di dalam kereta.
Inisiatif itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai selepas larangan untuk makan di dalam premis dikuatkuasakan.

Aidi berkata, setakat ini, sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada Jumaat lalu kerana menyediakan layanan sedemikian.

Menjelas lanjut, beliau berkata, tindakan itu adalah melanggar SOP kerana hanya ‘take away’ dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya pelanggan membeli (take away) dan makan di dalam kenderaan mereka sendiri, ia tidak menjadi kesalahan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum ini memutuskan tidak membenarkan restoran, kedai makan, bistro, kafe, gerai makanan dan minuman beroperasi secara ‘dine-in’ (makan di kedai).

Aktiviti pembekalan dan penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran saja.

Ia adalah sebahagian daripada syarat SOP yang diperketatkan bagi mengawal penularan Covid-19 yang membimbangkan di negeri ini.

Makan dalam kereta jadi trend popular

KUCHING: Konsep makan dalam kereta (dine-in) sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadi pilihan ramai dan mula menjadi pendekatan baharu oleh pemilik kafe.

Menerusi konsep baharu ini orang awam berasa sedikit lega kerana meskipun tidak dapat makan di kedai kegemaran, dapat makan berhampiran kedai pun sudah mencukupi.

Perkhidmatan hidangan dalam kenderaan tersebut turut disediakan oleh sebuah restoran yang menawarkan cara baharu bagi pelanggan untuk makan di luar semasa pelaksanaan PKPB.

Di Restoran Resto Nasi Padang, Metrocity di sini, pelanggan boleh menikmati makanan dengan meletakkan kenderaan masing-masing di tempat letak kereta.

Manakala seorang daripada pelanggan perlu keluar dan membuat pesanan di dalam kedai seterusnya kakitangan restoran akan menghantar hidangan kepada mereka.

Menariknya, setiap hidangan disediakan mengikut keselesaan pelanggan dan selalunya pelanggan akan meminta menyediakan hidangan menggunakan talam mengikut set menu yang dipesan.

Menurut pemilik restoran, Ayu Marfitz Sutardi, 27, idea untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian diperoleh daripada permintaan salah seorang pelanggannya.

“Perkhidmatan dine-in dalam kenderaan ini bermula sejak kita tidak dibenarkan untuk dine-in dalam premis makanan.

“Idea tersebut tercetus apabila salah seorang pelanggan tetap membuat permintaan untuk menikmati makanan menerusi perkhidmatan seperti ini dan sejak ia mula dilaksanakan, sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan,” katanya kepada Jiwa Bakti.

Bagi yang berminat untuk merasai sendiri kelainan makanan yang dihidang dalam kenderaan dengan pelbagai menu yang menyelerakan, boleh berkunjung ke restoran tersebut yang terletak di Metrocity, Matang di sini.

Kredit Sumber: Jiwa Bakti

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*