Elizabeth kemurungan sejak kecil sebab penyakit kulit yang dihadapinya

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan mendedahkan sudah lama mengalami anxiety atau kegelisahan melampau disebabkan penyakit kulit yang dihadapinya sejak di bangku sekolah rendah.

Dedah Elizabeth Tan atau lebih dikenali sebagai Lizzy, penyakit kulit tersebut ialah vitiligo (masalah kulit) dan alopecia areata (keguguran rambut).

“Ya memang sejak kecil saya ada masalah kegelisahan dan kebimbangan kerana penyakit kulit tersebut.

“Sejak bila kena itu, saya tak berapa ingat tapi memang bermula dari sekolah rendah sehingga kini dan memerlukan saya untuk mengambil ubat-ubatan bagi mengawal penyakit tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Berkongsi lanjut, pemilik nama penuh Elizabeth Tan Su Mei, 28, berkata, kali terakhir dia mendapatkan rawatan berhubung masalah kesihatannya itu dua tahun lalu.

Semalam pelantun lagu Knock Knock itu memuat naik InstaStory memaparkan dirinya sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental di sebuah pusat perubatan swasta bagi menjalani pemeriksaan berkala.

Pada masa sama, Lizzy turut mengingatkan orang ramai kepentingan menjaga kesihatan mental terutama pada musim pandemik yang menyaksikan masalah tersebut semakin meningkat.

“Kesihatan mental bukan satu topik atau perkara yang kita patut rasa malu dan takut. Sebab perkara ini normal dan memang berlaku dalam masyarakat kita.

“Saya juga menyarankan semua kepada semua yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental untuk mendapatkan bantuan sebelum terlambat,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa selebriti tanah air pernah mengalami masalah anxiety seperti Diana Danielle, Azza Ellite, Ardell Aryana, Tasha Shila, Haqiem Rusli dan Fathia Latiff. – K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*