Ismail Sabri: Saya tak tahu kasino di Genting beroperasi, sudah diarah tutup

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob memerintahkan kasino Genting Highlands ditutup, dengan mengatakan bahawa dia sebelum ini tidak menyedari bahawa ia masih beroperasi.

“Saya tidak tahu kasino beroperasi sebelum ini. Saya telah memerintahkan penutupan mereka semalam (Jumaat),” katanya seperti dilapor The Vibes.

Malaysiakini telah menghubungi Ismail dan pegawainya yang meminta untuk merujuk kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mengenai perkara itu.

Pada 7 Mei, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar yang mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.

Mereka menaiki dua bas dalam perjalanan dari 22 April hingga 24 April, yang diatur oleh syarikat pelancongan berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ismail tidak menjelaskan mengenai operasi sebelumnya, atau alasan di sebalik penutupan tersebut atau berapa lama ia akan ditutup. – Malaysiakini

MKN sah kasino Genting ditutup, Mahfuz selar komen ‘tak tahu’ Ismail

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesahkan kasino di Genting Highlands, Pahang, diarahkan tutup namun Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob diselar kerana dilaporkan “tidak tahu” ia dibenarkan beroperasi sebelum ini.

Jurucakap MKN memberitahu FMT bahawa kasino berkenaan sudah ditutup apabila diminta mengulas laporan portal The Vibes yang memetik Ismail berkata, beliau mengeluarkan arahan penutupan itu Jumaat lalu.

Dalam laporan sama, Ismail turut dipetik berkata beliau tidak tahu kasino di Genting Highlands itu beroperasi sebelum ini.

“Saya tidak tahu kasino berkenaan beroperasi sebelum ini. Saya telah mengeluarkan arahan (pada Jumaat lalu) untuk mereka (kasino berkenaan) ditutup,” kata Ismail dalam laporan itu.

Kenyataan Ismail itu diselar oleh Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, yang mendakwa kerajaan mengelak daripada tanggungjawab dengan membenarkan kasino beroperasi sebelum ini.

“Kerajaan takut dengan persepsi masyarakat untuk menyatakan perkara sebenar bahawa aktiviti perjudian dibenarkan.

“Sepatutnya beliau (Ismail) jawab terus terang, iaitu tempat judi boleh dibuka.

“Beliau umpama tidak jujur dan takut untuk berdepan persepsi masyarakat kerana dalam tempoh PKP, premis jual nombor ramalan juga masih dibenarkan beroperasi,” kata Mahfuz.

Isu operasi kasino itu menjadi kontroversi susulan sekumpulan penduduk di Alor Setar, Kedah, dijangkiti Covid-19 selepas pulang bercuti dari pusat peranginan di Genting Highlands.

Pada 22 April lalu, media melaporkan sekumpulan pelancong dari Alor Setar dikatakan berkunjung ke Genting Highlands bawah gelembung perjalanan pelancongan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, apabila pulang dua hari kemudian, sebilangan mereka mengalami simptom Covid-19.

Pada 7 Mei, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 16 daripada 28 individu berkenaan positif jangkitan wabak itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan sama ada individu terbabit dijangkiti di kasino berkenaan.

Selain kasino, terdapat pelbagai kemudahan rekreasi dan pusat beli-belah di pusat peranginan itu.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan syarikat pelancongan yang membawa kumpulan pengunjung berkenaan didapati mematuhi semua garis panduan Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik yang ditetapkan.

Februari lalu, pengusaha resort dan kasino popular, Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands mengumumkan pihaknya memperoleh kebenaran untuk kembali beroperasi dengan SOP lebih ketat, susulan berakhirnya perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 di semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan pada 18 Februari. – FMT

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*