Isteri Tak Sangka Mangsa Maut Kereta Meletup Rupanya Suami, “Dia Cam Salah Satu Serpihan”

KOTA BHARU, 21 Mei (Bernama) — “Tidak sangka itu suami saya, dan masih terkejut dengan apa yang berlaku,” luah isteri kepada mangsa lelaki yang maut dalam kejadian sebuah kenderaan yang meletup sehingga terputus dua di Simpang 4, Kampung Sireh, di sini petang tadi.

Faridah Husin, 49, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian melibatkan arwah suaminya itu Wan Hassan Wan Ali, 49, oleh seorang rakannya, yang memberitahu mengenai kejadian kebakaran dua kilometer dari kediamannya, yang terletak berhampiran Kampung Sireh.

Namun, katanya ketika itu dia masih belum mengetahui yang suaminya terlibat dalam kemalangan berkenaan, dan maut di tempat kejadian.

“Pada mulanya anak kedua saya iaitu Wan Nor Adawiyah, 21, beritahu bapa mereka tidak terlibat dalam kejadian itu.

“Namun kali kedua pula saya dikejutkan, apabila anak sulung saya iaitu Wan Nor Hidayah, 22, pula beritahu, yang bapa mereka terlibat dalam kemalangan tersebut kerana dia cam salah satu serpihan kenderaan yang ada di lokasi kejadian,” katanya yang bekerja sebagai tukang jahit di Pasar Siti Khadijah, ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Bercerita lanjut, Faridah turut berkata suaminya tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini, namun arwah sering kali berulang-alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota, kerana mereka sekeluarga akan berpindah rumah tidak lama lagi.

Wan Hassan meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan serta seorang anak lelaki, Wan Mohd Fitri, 19.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Khairul Anwar Mohd Zin, 42, berkata insiden berkenaan merupakan tragedi yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut, sejak beliau mula berniaga di situ 27 tahun lalu.

“Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat, malah ada terfikir ia adalah bom, namun sebaik berlari keluar dari restoran kelihatan beberapa kereta ‘berselerakan’, dengan sebuah daripadanya sedang terbakar,” katanya.

Menurutnya, dia berada di dapur restoran miliknya yang terletak kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian, terus bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkedu melihat keadaan agak huru hara dengan orang ramai berlari untuk menyelamatkan diri.

Sumber: Bernama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*