Pasangan tular kecoh cerai lepas akad nikah, kembali rujuk

Pasangan pengantin baharu dari Indonesia yang tular kerana bercerai selepas sah diijab kabulkan dilaporkan sudah kembali rujuk, lapor akhbar Kompas hari ini.

Menurut Ketua Majlis Agama Empang, Abdul Wahid, selepas video tersebut tular, keluarga pengantin lelaki memohon maaf kepada pengantin perempuan dan mereka sudah saling bermaafan.

“Benar, kedua-dua mempelai sudah rujuk semula. Apa yang berlaku pada majlis pernikahan baru-baru ini hanya salah faham.

“Pasangan pengantin sudah berdamai dan sepakat untuk rujuk semula selepas pejabat agama mengadakan sesi kaunseling bersama mereka berdua,” jelas Abdul Wahid.

Tambahnya, semua urusan tanda tangan dokumen pernikahan sudah selesai dan pasangan itu kini sah sebagai suami isteri di sisi agama Islam.

Beberapa hari lalu, pasangan pengantin dari Kecamatan Empang, Sumbawa, Nusa Tenggara Barat menjadi tular di media sosial apabila si suami melafazkan cerai ke atas isterinya sejurus selepas majlis akad nikah selesai.

Ia berikutan keluarga pengantin lelaki tidak bersetuju dengan pernikahan yang berlangsung kerana pengantin perempuan sudah hamil sebelum bergelar isteri. – Agensi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*