Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditamatkan perkhidmatan serta-merta – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) ditamatkan serta merta.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kewangan selepas satu surat bertarikh 26 Mei yang dihantar kepada Tajuddin tular di laman sosial, hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuasa kuasa serta-merta. – Astro Awani

Kemalangan LRT: Kenyataan ‘first thing in the morning’ Tajuddin dikecam

Penjelasan Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd Tajuddin Abdul Rahman berkenaan ketiadaannya di tempat kejadian ketika kemalangan transit aliran ringan (LRT) semalam dikecam di media sosial.

Kebanyakannya tidak senang dengan kenyataan “first thing in the morning” yang dibuatnya.

Dalam sidang medianya hari ini, Tajuddin memberitahu yang dia tidak akan meletakkan jawatan susulan kejadian semalam, yang menyaksikan 47 penumpang dirawat di hospital – enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Dia juga menunjukkan rasa kurang senang terhadap pihak yang didakwanya cuba membuat provokasi berkaitan ketiadaannya semalam.

“Saya baru habis tugasan dengan syarikat di Subang petang (semalam), saya pun dapat tahu lambat. Saya pun dah sedia untuk vaksinasi hari ini. Saya patut terima dos kedua hari ini, you know?” katanya.

Dia juga berkata tahu bahawa pihak lain seperti Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan CEO Prasarana Norila Noah ada di tempat kejadian.

“Semua ada (semalam),” katanya sebelum berkata yang dia terus bercadang untuk ke terus ke lokasi pada pagi ini.

“Bila saya dapat tahu, sudah lewat, saya buat keputusan akan datang ‘first thing in the morning’. Ini bermakna saya memang serius dalam perkara ini. Jadi pagi lagi saya sudah turun, pergi tengok terowong semua,” katanya.

Katanya lagi, perkara paling penting adalah untuk Prasarana terus menjaga perkhidmatan dan penumpang.

Dalam sidang media itu, dia memaklumkan setiap penumpang yang terlibat dalam kemalangan itu akan menerima pampasan RM1,000, selain bantuan kewangan untuk kos perubatan, rawatan susulan dan ganti rugi untuk kehilangan pendapatan akibat kemalangan.

Bagaimanapun, respons Tajuddin berhubung insiden mengejutkan itu telah mengundang kritikan, antaranya daripada Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Ajit Johl, yang menggesa agar dia letak jawatan atau dipecat.

Seorang pengguna Twitter, @emirazahari turut mengecam kenyataan Tajuddin.

“Beratus orang cedera semalam. Jika anda tak boleh jawab soalan dengan baik, diam sajalah.”

@Nazharun pula bertanya mengapa Tajuddin tidak mengetahui tentang perkara itu lebih awal.

“Siapa dan di mana pegawai anda? Mengapa mereka tidak beritahu anda segera? Dan mengapa anda bersikap merendah-rendahkan (condescending)?” soalnya. -Malaysiakini

Baca berita asal

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*