Pesakit kronik yang tiada harapan sembuh tidak lagi dihantar ke unit ICU – Exco Kedah

Pesakit kronik yang dianggap tiada harapan untuk sembuh, tidak lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di negeri ini, berikutan jumlah katil sangat terhad ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit COVID-19.

Beliau berkata, pegawai perubatan bertugas terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit COVID-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

“Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga, dalam sesetengah kes doktor terpaksa memilih mana perlu dihantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia ke ICU.

“Ini termasuk pesakit bukan kes COVID-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi sesetengah kes, bagaimanapun kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persediaan hospital di negeri berdepan peningkatan kes COVID-19 selepas Kedah mencatat kes tertinggi iaitu 445 semalam, selain penggunaan wad ICU dilaporkan sudah mencapai 92 peratus.

Dr Mohd Hayati meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting.

“Kita perlu ingat hospital bukan saja merawat pesakit COVID-19, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain yang perlu rawatan serta pembedahan, selepas dibedah perlu dirawat di ICU terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sehingga kini 44 pesakit COVID-19 masih dirawat di ICU dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Seramai 11 pesakit dirawat di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala bakinya di ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan ICU Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2).

“Daripada keseluruhan 44 individu dirawat di ICU, cuma tiga saja yang berusia bawah 50 tahun,” katanya.

Dr Mohd Fikri berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar dan sembilan lokaliti di Bandar Darulaman serta Lubuk Kawah, Jitra, membolehkan pihaknya melaksanakan pengesanan kontak rapat lebih terperinci terhadap kes berkaitan.

“Saringan akan dibuat terhadap kumpulan sasar yang mungkin berisiko tinggi dan berpotensi meningkatkan penularan COVID-19. Jumlah mereka disaring bergantung kepada pengesanan kontak rapat dilakukan kini.

“Di Kota Setar, penularan COVID-19 kebanyakannya saling berkait antara satu mukim dengan mukim lain, namun kami akan memberi fokus seimbang terhadap semua mukim walaupun ada antaranya kini berstatus zon merah,” katanya.-BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*