Petani tak sangka harga mangga ditanamnya RM1,000 sebiji

Seorang petani dari JABALPUR, INDIA tidak me­nyedari bahawa dia menanam pokok mangga spesies termahal di dunia sehinggalah ditawarkan harga lebih AS$283 (RM1,178) untuk buah mangga tersebut, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Sankalp Singh Parihar membeli anak pokok mangga tersebut daripada seorang lelaki warga asing yang ditemuinya di dalam kereta api semasa melakukan perjalanan kerana urusan perniagaan ke Chennai.

Ketika berbual-bual dengan lelaki tersebut, Sankalp ditawarkan untuk membeli anak pokok mangga itu pada harga AS$33 (RM137) sebaik memberitahu bahawa dia seorang petani.

Meskipun tidak pernah mendengar spesies buah tersebut, Sankalp membeli baka mang­ga itu untuk ditanam di kebunnya.

“Saya tidak tahu jenis mangga tersebut, namun saya menamakannya sebagai Damini bersempena nama ibu saya dan menanamnya di kebun.

“Saya menanam anak pokok itu sama seperti pokok mangga lain, namun beberapa bulan kemudian, ia bertukar menjadi warna merah yang cantik,” katanya baru-baru ini.

Sankalp ketika itu masih tidak menyedari nilai buah mangga tersebut sehinggalah beberapa ahli perniagaan dari Mumbai dan Surat datang kepadanya dan meminta untuk membelinya.

“Mereka menawarkan untuk membeli buah mangga itu pada harga lebih AS$283 (RM1,178) dan ketika itu, saya sedar ia amat bernilai,” ujarnya.

Buah mangga tersebut sebenarnya daripada baka Miyazaki atau mangga ‘Telur Matahari’ dari Jepun sekali gus mangga termahal di dunia.

Buah tersebut amat manis selain kulit luarnya juga boleh dimakan, dan kebiasaannya, ia dijual pada harga tidak kurang AS$50 (RM208) sebiji.

Disebabkan harganya yang mahal, Sankalp terpaksa menggunakan khidmat sembilan ekor anjing dan tiga pengawal ke­selamatan untuk melindungi kebunnya daripada dimasuki pencuri.

Setakat ini, dia dan isterinya telah menanam sebanyak 52 pokok mangga tersebut dan me­rancang untuk menanam dengan lebih banyak sehingga kebun miliknya penuh. – AGENSI

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*