PKP3.0: Bila lagi nak buat Perutusan Khas?, Najib sindir Muhyiddin

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoal pakej rangsangan disediakan kerajaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 sebagaimana yang diumumkan sebelum ini menerusi perutusan khas dibuat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, simpanan dan rizab yang rakyat miliki hari ini semakin kehabisan selepas menghadapi PKP 1.0 dan 2.0 sebelum ini.

“Takde lagi ke Perutusan Khas? i-Lestari sudah tamat bulan Mac, permohonan i-Sinar nak tutup 30 Jun, manakala kebanyakan moratorium pinjaman bersasar juga akan tamat bulan depan. Simpanan dan rizab Rakyat juga semakin kehabisan setelah menghadapi PKP 1.0 dan PKP 2.0. Kini Rakyat nak hadapi PKP 3.0 dengan apa?,” katanya di Facebook.

Najib berkata, ketika PKP 1.0 antara pakej rangsangan diumumkan adalah PRIHATIN sebanyak RM250 bilion, PRIHATIN SME (RM10 bilion), PENJANA (RM35 bilion), Kita PRIHATIN (RM10 bilion) dan PERMAI (RM15 bilion).

“Pakej rangsangan PKP 2.0 ialah PEMERKASA berjumlah RM20 bilion. Pakej rangsangan PKP 3.0?.

“Sebab itu, saya dah banyak kali saran jika mahu buat PKP dan bendung Covid, buatlah dengan betul-betul untuk putuskan rantaian Covid-19 agar kita tidak bazir dan sia-siakan dana begitu besar yang telah dibelanja sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan rakyat kini tersepit akibat pelaksanaan PKP yang tidak ketat dan ‘separuh masak’.

“Tapi dibuat separuh masak. Dan kini mahu buat secara tiga suku mentah. Akibatnya, kerajaan dan Rakyat tersepit sekarang,” kata beliau.

Semalam, enam daerah di Selangor dikenakan PKP, manakala Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Johor serta Terengganu memulakan pelaksanaan PKP pada hari ini. – IR

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*