Pulau Langkawi jadi ‘Pulau Hantu’, industri pelancongan ‘tenat’

Hampir keseluruhan industri pelancongan negara lumpuh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana minggu lalu, dengan arahan penutupan pintu sempadan serta larangan rentas daerah dan negeri yang berterusan menjadikan keadaan sektor itu semakin tenat.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis, berkata berdasarkan tinjauan pihaknya ke atas 3,000 ahli MITA, kira-kira 10 peratus operasi agensi pelancongan berlesen sudah ditutup, 70 peratus ahli MITA berada dalam keadaan tidak aktif, sementara 20 lagi masih bertahan dan aktif dengan sekurang-kurangnya dua kakitangan.

“Dengan pengumuman PKP sejak minggu lalu, industri pelancongan hampir 100 peratus lumpuh. Tiada hasil diperoleh ketika sempadan antara negeri dan antarabangsa masih ditutup. Beberapa destinasi popular seperti Pulau Langkawi sudah menjadi seperti ‘pulau hantu’ tanpa kehadiran pelancong dan industri mengalami kerugian besar,” katanya pada sidang media, hari ini.

Justeru itu, Uzaidi menggesa tindakan segera iaitu memberi moratorium pinjaman automatik tanpa faedah kepada semua industri pelancongan, yang mempunyai kemudahan pinjaman bank sebelum Mac 2020.

“Tidak rugi pun bila bank beri kemudahan ini. Tahun lalu bank sudah meraih keuntungan hampir RM32 bilion. Apa salahnya kalau mereka membantu kami pada kali ini. Moratorium pinjaman yang diperlukan, pinjaman sewa beli untuk kenderaan pelancongan termasuk pinjaman yang diberikan oleh syarikat kredit, pinjaman perumahan, sewa dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi dana RM1 bilion kepada sektor pelancongan, perincian mesti diberi oleh kerajaan mengenai impak dari inisiatif berkenaan memandangkan banyak keluhan diterima ahli mengenai penyaluran dana itu.

“Kami berharap Bank Negara dapat memberikan status terkini mengenai pengeluaran dana dan kemudahannya secara berkala. Jika kelulusan pinjamannya rendah, kita perlu mengkaji mengapa dan berharap kelulusan dipermudah dengan syarat lebih ringan,” katanya.

Selain itu, katanya, MITA juga berharap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menyediakan satu lagi bantuan segera khusus bagi tempoh PKP.

“Kami juga ingin meminta pengecualian khas diberi untuk insurans dan cukai jalan termasuk bayaran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk semua kenderaan pelancongan berdaftar selama tiga tahun bermula tahun ini hingga 2024.

“Pengecualian cukai kepada semua ejen pelancongan juga mesti dilanjutkan selama lima tahun dari 2021 hingga 2025 memandangkan tempoh pemulihan bagi industri ini mengambil masa yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta semua ejen pelancongan dibenar beroperasi dari rumah dan menutup premis sehingga Disember 2022 selain kebenaran bagi perbaharui lesen tahunannya tanpa mengemukakan akaun diaudit yang pasti dapat mengurangkan beban perbelanjaan tahunan.

“Perancangan bagi pemulihan industri seperti melaksanakan strategi untuk membuka sempadan antarabangsa sebaik tamat PKP khusus bagi pelancong yang sudah diberi vaksin perlu dimulakan.

“Kebenaran bagi pelancong yang sudah diberi vaksin untuk mengunjungi Malaysia tanpa perlu melalui tempoh kuarantin bermula Oktober ini boleh diperinci serta mewajibkan urusan tempahan mesti membabitkan ejen pelancongan,” katanya.-BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*