Rakyat Dilarang Lakukan Hubungan Intim Selama 3 Hari Selepas Vaksin

Penduduk Rusia dilarang melakukan sebarang aktiviti berat termasuk hubungan intim sekurang-kurangnya selama tiga hari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Lapor Daily Mail, Timbalan Menteri Kesihatan wilayah Saratov, Dr. Denis Graifer berkata, penduduk harus menjauhkan diri daripada aktiviti berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

Saya percaya semua orang tahu bahawa hubungan intim merupakan aktiviti berat yang memerlukan banyak tenaga.
“Jadi, kami menegaskan kepada semua penduduk yang sudah divaksin bahawa aktiviti fizikal yang berat termasuk hubungan intim tidak digalakkan selepas vaksinasi,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas penduduk Rusia dimaklumkan untuk tidak mengambil minuman alkohol, merokok atau ke sauna sejurus selepas mendapat vaksin Covid-19 mereka.

Rusia merupakan salah sebuah negara mempunyai kadar vaksinasi Covid-19 paling rendah di seluruh dunia.
Hanya 13 peratus penduduk yang menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya berbanding negara Eropah kira-kira 30 peratus.

Jenis vaksin Covid-19 tidak mempengaruhi kandungan

Kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19 ke atas wanita hamil hampir tiada yang teruk, sebaliknya sama seperti orang wanita yang tidak hamil iaitu lenguh, mual dan demam.

Profesor Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, International Medical University (IMU), Prof. Dr. Nazimah Idris berkata tempoh paling sesuai mengambil vaksin ialah pada usia kandungan antara 14 minggu hingga 28 minggu.

Jika kandungan berada pada tahap trimester ketiga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan vaksin diterima sehingga usia kandungan pada minggu ke 33.

“Mengenai jenis vaksin, memetik kumpulan pakar penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE), mendedahkan vaksin yang paling sesuai dan selamat ialah Pfizer-BioNTech mRNA manakala ibu yang menyusukan bayi boleh diberikan vaksin Pfizer atau AstraZeneca.

“Pzifer disyorkan kerana banyak kajian telah dibuat mengenainya, sedangkan dua vaksin lagi, kajian mengenai masih sedang dijalankan,” katanya.

Sungguhpun begitu, jelasnya sekiranya wanita sudah mengambil suntikan vaksin AstraZeneca dan kemudian mendapati diri hamil, tidak perlu bimbang kerana antibodi sudah terhasil dalam tubuh.

“Begitu juga kalau sudah pun mendapatkan dos vaksin yang pertama dan kemudiannya mendapati hamil, jangan khuatir. Teruskan kehamilan kerana vaksinasi ketika trimester pertama tidak meningkatkan risiko keguguran,” katanya.

Vaksin katanya, tidak menjejaskan kandungan seperti mana sangkaan ramai kerana ia bukanlah satu bawaan yang boleh dipindahkan daripada ibu kepada bayinya.

“Sebaliknya ia memberikan kesan baik kepada bayi. Ia berfungsi dengan cara memicu badan ibu untuk menghasilkan antibodi. Antibodi ini akan dipindahkan kepada bayi dan seterusnya bayi akan mendapat juga perlindungan,” katanya.

Dr Nazimah yang juga Pengarah Perubatan IMU Healthcare (IMUH) turut menyangkal dakwaan pihak tertentu bahasa vaksinasi boleh menjejaskan kesuburan.

Ia berikutan kemampuan hamil bergantung kepada proses semulajadi kitaran hormon, iaitu apabila ovari menerima isyarat dari otak.

“Vaksinasi ini tidak menjejaskan proses berkenaan ataupun peluang untuk hamil dalam apa cara sekalipun. Dunia perubatan berpengalaman luas berkaitan vaksinasi, termasuklah vaksinasi semasa kehamilan. Mereka ada pengetahuan mengenai bagaimana ia boleh mempengaruhi wanita dan kehamilan,” ujarnya.

Justeru wanita hamil boleh memberikan maklumat mengenai status anda di aplikasi MySejahtera dan janji temu vaksinasi akan diberikan berdasarkan vaksin sesuai.

Sementara itu katanya, wanita sedang merancang kehamilan turut disaran melengkapkan dahulu dos vaksinasi sebelum hamil bagi memboleh mereka mendapatkan perlindungan sepenuhnya daripada virus Covid-19. – Utusan Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*