Selesai menjalani kuarantin, Ebit Lew belanja petugas PPV makan KFC

Ebit sumbang 360 set ayam goreng KFC buat petugas-petugas di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Baru sahaja selesai menjalani kuarantin sebaik pulang dari misi kemanusiaan di Gaza, Palestin, pendakwah terkenal, Ebit Lew hari ini bermurah hati menyumbang sebanyak 360 set ayam goreng KFC buat petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ebit menerusi hantaran di Facebooknya berkata, sumbangan itu diberikan sebagai tanda menghargai kerja keras petugas di PPV berkenaan.

“Tadi sempat ke Pusat Vaksin di Axiata Arena. Belanja 360 set KFC dan beri semangat pada mereka. Semua melambai-lambai dan ajak bergambar.

“Terharu terasa macam baru balik kampung. Terima kasih semua. Semoga semua petugas terus kuat. Penat tugas sepanjang hari. Ke sana sini petugas bawa vaksin ke ruang suntikan. Semua teramat sibuk. Sabar ya. Insya-Allah kita akan sama-sama melalui semua ini dengan pertolongan Allah,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati, rata-rata netizen memuji tindakan Ebit yang dilihat bersemangat membantu dan menggembirakan orang lain walaupun baru sahaja kematian bapa tercinta.

“Alhamdulillah terima kasih ustaz. Anak saya pun ada beritahu tadi ustaz belanja KFC dan anak saya adalah salah seorang sukarelawan di PPV itu. Semoga Allah permudahkan segala urusan ustaz,” kata seorang pengguna Facebook Deira Hasan.

“Ustaz Ebit dah kembali meneruskan perjuangan membantu rakyat-rakyat Malaysia. Semoga Allah permudahkan segalanya dan lindungi ustaz dari segala fitnah dan hasad dengki,” kata Rina Rizani.

Selain itu, ruang komen juga dipenuhi dengan kata-kata semangat buat Ebit susulan spekulasi yang kini hangat diperkatakan di media sosial melibatkan dirinya.

“Teruskan berbakti kepada masyarakat ustaz. Bila buat baik ramai sayang dan ada juga yang sakit hati. Hanya Allah yang tahu niat ustaz,” kata Nur Syarmira.

“Terbaik ustaz teruskan perjuangan yang sebenar untuk bantu rakyat menderita, bukan sekadar hendak menjadi ‘influencer’,” kata Shukry.

Terdahulu, Ebit bersama kumpulannya selamat tiba di Malaysia pada 2 Julai selepas selesai menjalankan misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin.

Ebit juga baru sahaja kehilangan bapanya, Ibrahim Lew yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles Selasa lalu akibat kanser perut. – K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*