Suhaimi Saad letak jawatan penyanyi nasyid, sudah rakam lagu rock – “Kalau tak cermat membaca memanglah keliru…”

“Saya cuma letak jawatan sebagai penyanyi nasyid sahaja bukan berhenti menyanyi”. Demikian kata bekas anggota kumpulan Inteam, Suhaimi Saad ketika dihubungi URTV.

Menjelaskan kekeliruan tersebut, Suhaimi menegaskan dia tidak akan terus meninggalkan lapangan seni malah sudah merangka pelbagai perancangan untuk kerjaya nyanyiannya.

“Kalau tak cermat ketika membaca kenyataan yang saya keluarkan berkenaan letak jawatan sebagai penyanyi nasyid, memanglah akan keliru.

“Ada beza berhenti dari nasyid dengan tidak lagi menyanyi. Kena fahamkan,” katanya.

Menurut suami kepada Ina Naim itu lagi, dia akan terus memberi fokus kepada kumpulan Bismillah yang ditubuhkan pada Januari lalu.

Menariknya, kumpulan itu dianggotai oleh semua ahli keluarganya iaitu isteri, Ina Naim serta empat orang anaknya, Ehmad Hadie El Fardie,13, Sallman El Khoyri,11, Phyrosh Ed Fadwah,9, dan Nurlayla El Ghufrony, 7 tahun.

“Insya-Allah Bismillah akan keluarkan album dalam bulan ini. Kami tak akan menyanyikan lagu nasyid saja.

“Ada banyak genre lain yang akan kami rakam dan terbitkan. Saya pun baru saja menyiapkan rekod demo lagu rock kapak berjudul Kadang-Kadang Rindu, Kadang-Kadang Lupa,” jelasnya.

Sementara itu, Suhaimi memberitahu selepas ini dia enggan digelar sebagai ustaz memandangkan gelaran tersebut hanya sesuai untuk mereka yang lebih layak berbanding dirinya.

“Kita kena betulkan mentaliti. Bukan semua orang yang menyanyi nasyid itu alim, faham agama dan sesuai digelar ustaz.

“Ustaz ini gelaran yang terpuji dan terhormat, silap bagi gelaran , kita juga yang akan terkeliru nanti. Hari ini kita dapat tengok ada macam-macam jenis ustaz.

“Ada yang betul, ada yang palsu, ada yang segera dan berlakon. Jangan disebabkan seseorang itu ‘up’ status agama, pakai kopiah, kita terus panggil dia ustaz. Kena sesuaikan.

“Biarlah tak ada gelaran ustaz pun, yang penting kita ada ilmu, amalan dan akhlak yang baik. Ustaz itu cuma gelaran,” jelasnya.

Terdahulu, Suhaimi memuat naik status meletakkan jawatan daripada dunia nasyid di Instagram miliknya selepas lebih 20 tahun aktif dalam industri tersebut.

Malah, Suhaimi turut meminta orang ramai untuk tidak lagi memanggilnya dengan gelaran ustaz.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Suhaimi Saad (@mosusofficial)

– URTV

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*