Tiga tahun kahwin, terkedu bila tahu wali rupanya adik angkat

Seorang wanita terkedu apabila mengetahui dia merupakan anak angkat kepada kedua-dua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga berwalikan adik lelaki yang disangka adik kandungnya.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli melalui hantaran di laman Facebook miliknya berkata, wanita itu merupakan penjawat awam Gred 41 bertemu jodoh dengan suaminya yang bekerja di tempat yang sama di utara Semenanjung dan mereka mempunyai seorang anak.

“Perkahwinan dia dan suami tiada apa-apa masalah. Mereka dinikahkan adik lelaki wanita berkenaan kerana bapa mereka meninggal dunia ketika wanita itu bersekolah menengah manakala ibunya ‘pergi’ lima tahun sebelum perkahwinan itu berlaku.

“Adik lelaki itu sahaja wali yang ada kerana mereka tiada datuk atau bapa saudara sebelah bapa yang boleh menjadi wali. Urusan bertunang dan persiapan kahwin diuruskan saudara mara ibu mereka dan majlis yang dirancang berjalan lancar.” kongsinya dalam hantaran tersebut baru-baru ini.

Namun, pada suatu hari adik lelaki wanita itu menemui sepucuk surat di dalam bilik arwah ibu mereka yang mengandungi maklumat bahawa kakaknya telah diserahkan sebuah keluarga yang tidak mampu menjaganya kerana dia mempunyai adik-beradik yang ramai.

Fahmi berkata, kedua-dua beradik itu kemudiannya pulang bertemu bapa saudara sebelah ibunya dan di situ terbongkar kisah ibu dan bapa mereka pernah lari membawa diri selama bertahun-tahun kerana perkahwinan tidak direstui keluarga.

“Selepas pulang ke kampung, mereka membawa bersama anak kecil berumur 5 tahun iaitu wanita tersebut. Kedua suami isteri itu tidak pernah membuka mulut berkaitan anak angkat.

“Ketika itu adiknya masih belum lahir dan tiada siapa tahu ibu dan bapanya mengambil anak angkat,” katanya menambah kisah itu berlaku kira-kira empat tahun lalu.

Katanya, lebih menimbulkan tanda tanya, maklumat dalam sijil kelahiran menunjukkan nama wanita itu dibintikan kepada arwah bapanya.

Justeru, bagi mendapatkan kepastian dua beradik itu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan hasilnya keputusan yang diperoleh negatif dan mereka berdua sah tiada pertalian darah.

Beliau berkata, status pernikahan itu disebut nikah fasid maksudnya pernikahan mereka adalah rosak pada syarat sah nikah tersebut.

“Maka, pernikahan wanita itu dengan suaminya dipisahkan oleh pihak mahkamah tetapi mereka boleh bernikah semula dengan wanita itu membuat permohonan wali hakim kerana ketiadaan wali lain.

“Anak-anak wanita tersebut tetap dikira sebagai anak sah taraf disebabkan pernikahan wanita itu dengan suami bukanlah atas dasar zina atau lahir kurang daripada umur yang ditetapkan syarak.

“Mereka tidak tahu pernikahan tersebut ada kecacatan. Jadi, anak-anak tersebut tetap dikira anak sah taraf kepada suaminya dengan syarat suaminya mengakui itu adalah anak-anaknya,” jelasnya.

Beliau menasihati ibu bapa yang mempunyai anak angkat tidak menyembunyikan hakikat sebenar atau cuba menasabkan anak tersebut kepada bapa angkat kerana hukumnya adalah haram. – K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*