Tim. Menteri Che Lah tidak mengaku terlibat pernikahan tular

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menegaskan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang pengakuan mengenai penglibatan dirinya dalam satu rakaman pernikahan melalui telefon yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau menyifatkan rakaman video pernikahan secara panggilan telefon yang mengaitkan dirinya dilihat sebagai satu usaha untuk mengaibkannya.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat itu, pihaknya menganggap perbuatan tersebut sengaja dilakukan oleh pihak luar dan telah menyerahkan kes berkenaan kepada peguam.

“Saya tidak pernah membuat sebarang pengakuan penglibatan dalam video itu. Bagaimanapun, sewajarnya perkara ini ditangani secara peribadi.

“Perkara ini disebarkan oleh sebelah pihak. Maka, saya serahkan kepada peguam untuk urusan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bakul Makanan Kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Tumpat di Pejabat Parlimen Tumpat, Berangan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video pernikahan melalui telefon mengaitkan seorang Timbalan Menteri yang bernikah dengan seorang wanita.

Sebelum ini, Che Abdullah telah memohon maaf sekiranya isu dikatakan mempunyai kaitan dengan dirinya itu menyinggung mana-mana pihak. -K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*