Tular Gambar Makan Durian, Artis Bergelar Datuk Langgar SOP Disiasat

TAPAH – Polis akan memanggil seorang artis terkenal tanah air bergelar Datuk dan beberapa individu lain bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam satu majlis sosial di sebuah ladang di Bidor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Polis mengesan penularan gambar majlis sosial di laman Facebook melibatkan selebriti dan beberapa individu kira-kira jam 2 petang hari ini (Sabtu).

TANGKAP layar beberapa keping gambar ‘kenduri durian’ yang disertai artis terkenal tanah air di sebuah ladang di Kampung Poh di Bidor hari ini.

“Dalam penularan gambar tersebut terdapat pelanggaran SOP PKP 3.0 yang mana tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu, memetik Sinar.

Menurut Wan Azharuddin, siasatan mendapati gambar tular itu diambil oleh individu yang turut serta dalam majlis tersebut di mana turut melibatkan aktiviti seperti jamuan dan berkaraoke.

“Turut hadir dalam perjumpaan tersebut terdiri dalam kalangan ahli perniagaan tempatan serta beberapa penduduk kampung selain melakukan aktiviti jamuan serta berkaraoke.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya, lapor Sinar.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh PKP 3.0 dan sentiasa mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, masyarakat juga hendaklah sentiasa sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Sumber: Sinar Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*