(Video) Gara-gara nak beli ‘Durian’, wanita jadi samseng jalan raya

Bengang angkara dibunyikan hon dipercayai punca yang mendorong seorang pemandu wanita melemparkan kata-kata kesat selain turut mematahkan ‘wiper’ dan mengetuk cermin kenderaan seorang individu dengan pengunci stereng.

Video insiden berdurasi 19 saat yang dirakam seorang individu itu tular di laman sosial memaparkan wanita tersebut mengambil pengunci stereng lalu mengetuk cermin hadapan kereta individu lain.

Seorang individu memberitahu, kejadian bermula di simpang tiga Kampung Batu Muda ketika wanita itu membrek berulang kali kenderaannya dipercayai untuk membeli durian.

“Pemandu itu bawa kereta macam orang tak betul. Kejap-kejap main brek. Sibuk nak tengok orang jual durian kat depan sekolah tu.

“Boleh pulak terus nak buat u turn secara mengejut. Nak beli durian la kot. Sekali tak lepas sebab ada kereta dari arah jalan besar. Pemandu kereta telah membunyikan hon,” ujarnya di laman sosial Facebook hari ini.

Tindakan membunyikan hon menyebabkan wanita itu naik angin lalu mengejar kenderaan tersebut dan menghalangnya sebelum keluar daripada kereta dengan memaki pemandu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Video:

Kosmo! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*