Video minah rempit, wanita buat aksi wheelie diberkas

Tangkap layar video aksi seorang wanita bersama remaja lelaki menunggang motosikal secara berbahaya yang tular sejak semalam.

BATU PAHAT- Gara-gara memuat naik video beraksi menunggang motosikal secara berbahaya, seorang wanita dan remaja lelaki ditahan polis selepas rakaman itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penunggang motosikal yang merupakan wanita berusia 21 tahun bersama pembonceng berusia 16 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing di Jalan Pantai, di sini, semalam.

“Mereka ditahan pada pukul 4.45 petang semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat selepas video berdurasi 31 saat itu mula tular.

“Siasatan mendapati, video memaparkan penunggang wanita membuat aksi wheelie bersama seorang pembonceng remaja lelaki itu telah dirakam pada 10 Mei di Jalan Datuk Syed Esa, di sini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Ismail, kedua-dua tangkapan tersebut kemudian dibebaskan dengan ikat jamin polis.

“Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

“Kita menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan aksi-aksi yang boleh membahayakan nyawa sendiri atau orang lain, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak mereka,” katanya. – K! ONLINE

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*